
SHAH ALAM – Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memaklumkan tujuh kawasan di seluruh negara mencatatkan bacaan status kualiti udara pada tahap tidak sihat dengan lima di Selangor dan masing-masing satu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Pahang.
Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, antara kawasan tersebut ialah di Johan Setia, Banting, Petaling Jaya, Klang, Shah Alam, Cheras dan Rompin.
Menurutnya, punca kualiti udara tidak sihat adalah disebabkan peningkatan kes pembakaran terbuka di dalam negara susulan keadaan cuaca panas dan kering bermula pertengahan Februari lalu.
“Keadaan sedikit berjerebu di Lembah Klang pada hari ini (Selasa) susulan kejadian kebakaran hutan dan tanah gambut di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan seluas 34 hektar sejak 24 Februari lalu.
“Manakala pembakaran terbuka daripada aktiviti pertanian tanah gambut di Johan Setia, Klang yang mula dikesan pada 5 Februari lalu dengan 5 lokasi kebakaran melibatkan anggaran jumlah keluasan tiga ekar telah menyebabkan kualiti udara tidak sihat di kawasan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Berdasarkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang direkodkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada Selasa, beliau turut berkata, ia menunjukkan sembilan kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik manakala 51 kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap sederhana.
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/126561/BERITA/Nasional/Selangor-Kuala-Lumpur-catat-bacaan-kualiti-udara-tidak-sihat
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf
